Setiap orang
perlukan kawan, teman, geng orang-orang yang boleh kita berhubung , tapi apakah
itu kawan? Geng warung kopi? Member seperjuangan? Member lepak-lepak?
Rakan-rakan sekolah atau kawan-kawan yang bersama kita semasa kita kecil?. Tak
ada prejudis, tak ada perbezaan , tak ada pertandingan , tak ada persaingan,
sehingga satu hari nanti kita belajar membuka mata dan kita mula nampak dunia
bukan lagi sekadar hitam dan putih.
Kita meneruskan
perjalanan hidup mencari kawan, teman, dan rakan untuk mengisi kekosongan tanpa
menyedari mereka berada dihadapan kita, hanya menunggu masa untuk menemukan
kita, hanya menunggu keadaan yang akan menentukan arah persahabatan. Kita
mengembara dari satu tempat ke satu tempat yang lain, mengembara bersama
kenangan manis dan impian hidup yang ingin kita kongsi seperti sebutir habuk
yang ditiup angin, kita mencari ketentuan hidup dan arah masa depan. Satu hari
nanti kita akan sedar melakukan kesilapan adalah lumrah perjalanan hidup yang
akan mendewasakan kita. Terikat, terkonkong, terkurung, kita mencari jalan
untuk melepaskan diri dari kemelut lama, yang ikut kita kemana saja kita pergi.
Akhirnya ruang, membuatkan kita leka, lupa dan lalai, memaksa kita berfikir,
membebankan kita, membebaskan kita melemas dan memakan kita semula. Kadang –
kadang kita lupa, bercakap bukan sekadar bercakap, mendengar bukan sekadar
mendengar , tapi kita sebenarnya sedang mencari jalan penyelesaian, mencari
kesefahaman, kita sedang meluahkan perasaan, isi hati dan keinginan untuk
difahami.
Setiap yang kita
lakukan mesti kena dengan caranya, nak masak lauk kena pilih bahan, kena pandai
kawal api dan sukatan rencah perlu tepat, tak lebih dan tak kurang, jadikannya
sesuatu yang boleh dinikmati. Seperti jugaklah bercinta lebih kurang sama aja,
itu dan ini mesti ada, mesti ada keinginan dan mesti ada kemahuan barulah boleh
suka sama suka dan dalam persahabatan diperlukan keserasian dan keikhlasan
barulah boleh ngam. Dalam kenal mengenal diantara satu sama lain pula mesti ada
kesabaran dan kesefahaman. Akhirnya, bila kita bertemu dan saling berkenalan,
bila kita sudah sehaluan, hanya masa yang akan menentukan perjalanan
persahabatan kita.
Kita sedar
perjalanan yang mendewasakan kita tidak akan mudah seperti yang kita impikan
hubungan yang kita jalinkan semakin rumit, badan yang bertungkus lumus
menampung hidup semakin penat, hati yang kita harap semakin lembut menjadi
keras, dan kesunyian membelenggu diri yang menjadikan kita semakin teringin
untuk mencapai kebahagiaan dan kesempurnaan.
Kita dilahirkan
‘saya’ ‘aku’ ,
Tapi kita
menghabiskan masa mencari kawan, teman, geng, mencari rakan-rakan yang boleh
kita berhubung, mencari sahabat-sahabat
Mencari kami,
menjadi kami……