Sunday, 24 February 2013

SAHABAT

Setiap orang perlukan kawan, teman, geng orang-orang yang boleh kita berhubung , tapi apakah itu kawan? Geng warung kopi? Member seperjuangan? Member lepak-lepak? Rakan-rakan sekolah atau kawan-kawan yang bersama kita semasa kita kecil?. Tak ada prejudis, tak ada perbezaan , tak ada pertandingan , tak ada persaingan, sehingga satu hari nanti kita belajar membuka mata dan kita mula nampak dunia bukan lagi sekadar hitam dan putih.

Kita meneruskan perjalanan hidup mencari kawan, teman, dan rakan untuk mengisi kekosongan tanpa menyedari mereka berada dihadapan kita, hanya menunggu masa untuk menemukan kita, hanya menunggu keadaan yang akan menentukan arah persahabatan. Kita mengembara dari satu tempat ke satu tempat yang lain, mengembara bersama kenangan manis dan impian hidup yang ingin kita kongsi seperti sebutir habuk yang ditiup angin, kita mencari ketentuan hidup dan arah masa depan. Satu hari nanti kita akan sedar melakukan kesilapan adalah lumrah perjalanan hidup yang akan mendewasakan kita. Terikat, terkonkong, terkurung, kita mencari jalan untuk melepaskan diri dari kemelut lama, yang ikut kita kemana saja kita pergi. Akhirnya ruang, membuatkan kita leka, lupa dan lalai, memaksa kita berfikir, membebankan kita, membebaskan kita melemas dan memakan kita semula. Kadang – kadang kita lupa, bercakap bukan sekadar bercakap, mendengar bukan sekadar mendengar , tapi kita sebenarnya sedang mencari jalan penyelesaian, mencari kesefahaman, kita sedang meluahkan perasaan, isi hati dan keinginan untuk difahami.

Setiap yang kita lakukan mesti kena dengan caranya, nak masak lauk kena pilih bahan, kena pandai kawal api dan sukatan rencah perlu tepat, tak lebih dan tak kurang, jadikannya sesuatu yang boleh dinikmati. Seperti jugaklah bercinta lebih kurang sama aja, itu dan ini mesti ada, mesti ada keinginan dan mesti ada kemahuan barulah boleh suka sama suka dan dalam persahabatan diperlukan keserasian dan keikhlasan barulah boleh ngam. Dalam kenal mengenal diantara satu sama lain pula mesti ada kesabaran dan kesefahaman. Akhirnya, bila kita bertemu dan saling berkenalan, bila kita sudah sehaluan, hanya masa yang akan menentukan perjalanan persahabatan kita.

Kita sedar perjalanan yang mendewasakan kita tidak akan mudah seperti yang kita impikan hubungan yang kita jalinkan semakin rumit, badan yang bertungkus lumus menampung hidup semakin penat, hati yang kita harap semakin lembut menjadi keras, dan kesunyian membelenggu diri yang menjadikan kita semakin teringin untuk mencapai kebahagiaan dan kesempurnaan.

Kita dilahirkan ‘saya’ ‘aku’ ,
Tapi kita menghabiskan masa mencari kawan, teman, geng, mencari rakan-rakan yang boleh kita berhubung, mencari sahabat-sahabat
Mencari kami, menjadi kami……

No comments:

Post a Comment